BATU KAWAN: Perpaduan bukan sekadar slogan tetapi merupakan ‘pasak serta paksi yang menjamin kelangsungan mana-mana tamadun negara bangsa’, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan 2025 di Stadium Negeri Batu Kawan, Pulau Pinang yang menyaksikan kehadiran ribuan rakyat pelbagai kaum dan latar belakang.
Majlis yang bertemakan ‘Harmoni Dalam Kepelbagaian’ turut menampilkan pelbagai aktiviti kebudayaan, pameran etnik, persembahan seni serta pelancaran inisiatif pembangunan seperti Perumahan MADANI di Batu Kawan dan Teratai MADANI yang menjadi bukti pendekatan inklusif kerajaan dalam pembangunan negara.
“Kepelbagaian ternyata bukan penghalang, tapi merupakan kekuatan yang bersulam prinsip adil dan ihsan.
“Kita usul serta tekankan prinsip ‘harmoni dalam kepelbagaian’ dan mengaku serta menginsafi cabaran sebenar yang dihadapi oleh semua; Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, sebagai contoh.
“Pendekatan kita bukan retorik hasutan tetapi merupakan penyelesaian yang nyata dan menyeluruh,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Dalam ucapan yang sama, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM10 juta kepada Kementerian Perpaduan bagi memperkasa usaha menyemai semangat muhibah dan toleransi di kalangan rakyat.
“Kita terus mara ke hadapan bukan dengan cercaan dan maki hamun tetapi dengan dasar yang adil, tekad yang jelas dan perpaduan yang utuh,” katanya.
Anwar turut menekankan bahawa keyakinan antarabangsa terhadap Malaysia bukanlah hasil pencapaian individu tetapi hasil usaha kolektif rakyat yang menolak kebencian dan memilih kestabilan.
“Malaysia semakin diyakini di mata dunia tetapi bukan kerana saya tetapi atas sebab usaha kolektif seluruh lapisan masyarakat yang menolak kebencian serta memilih kestabilan,” ujarnya.
Pulau Pinang dipuji sebagai negeri paling cekap meluluskan projek pembangunan rakyat termasuk perumahan mampu milik yang menyasarkan golongan berpendapatan sederhana dan rendah.
Majlis ini turut dihadiri oleh Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang; Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow serta barisan pemimpin negeri dan persekutuan.








