Oleh: Shafira Aziz
PETALING JAYA: Sekolah Kebangsaan (SK) Presint 16, Putrajaya, menjadi fokus utama dalam usaha kerajaan meningkatkan kualiti pendidikan melalui penambahbaikan infrastruktur sekolah.
Menerusi lawatan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Kamil Munim, pihak sekolah menyuarakan beberapa aduan berkaitan kemudahan yang memerlukan penyelenggaraan segera.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, aduan tersebut akan diberi perhatian seiring dengan matlamat Kerajaan MADANI untuk menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih baik.
“Aduan ini akan diteliti bagi memastikan pendidikan anak-anak sentiasa dimartabat,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, penambahbaikan infrastruktur sekolah ini selari dengan peruntukan Belanjawan 2025, di mana RM2 bilion dikhususkan untuk projek naik taraf dan penyelenggaraan sekolah di seluruh negara.

“Belanjawan 2025 telah memberi fokus penting kepada pendidikan dengan peruntukan tertinggi dalam sejarah berjumlah RM64.1 bilion, dengan RM2 bilion dikhususkan untuk projek naik taraf dan penyelenggaraan sekolah di seluruh negara,” tambahnya.
Lawatan tersebut bukan sahaja menumpukan isu kemudahan sekolah, tetapi turut memperlihatkan sisi jiwa rakyat Anwar apabila Kamil menyampaikan ucapan selamat hari lahir bagi pihak Perdana Menteri kepada Ummu Qaireen Muhamad Hanis, seorang murid SK Presint 16 yang baru berusia 10 tahun.