Anwar Wajar Kekal sebagai PM – Rafizi

PETALING JAYA: Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli menyuarakan kebimbangan mengenai kesan besar terhadap kestabilan negara jika berlaku pertukaran kerajaan ketika ini.

Dalam episod audio siar Yang Berhenti Menteri, beliau berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar kekal sebagai Perdana Menteri demi kesinambungan dasar dan pengurusan ekonomi yang konsisten.

“Kita tak boleh tukar kerajaan sekarang kerana kita sedang berdepan cabaran ekonomi yang serius,” katanya ketika membincangkan keadaan semasa ekonomi serantau.

Untuk info, unjuran pertumbuhan di negara-negara ASEAN seperti Indonesia, Thailand, Vietnam, Singapura dan Filipina dijangka menurun ke sekitar dua hingga tiga peratus.

Menurut Rafizi, jika Malaysia turut terjejas dan pertumbuhan mencecah tiga peratus atau lebih rendah, negara boleh menghadapi krisis yang lebih parah dalam masa satu hingga dua tahun.

Oleh sebab itu, Rafizi menyarankan agar kerajaan pimpinan Anwar diberi ruang untuk menamatkan penggal pemerintahan sehingga 2027.

Ini kerana katanya, kestabilan politik sangat penting bagi menarik pelaburan asing, menjamin dasar fiskal yang mampan serta mengurus inflasi dan kebajikan rakyat secara berterusan.

Pembangkang kini merancang himpunan besar-besaran pada 26 Julai dinamakan ‘Turun Anwar’ yang dijangka menarik sehingga 300,000 peserta.

Pada masa yang sama, Rafizi berkata, kenyataannya bukan untuk menangkis kritikan tetapi sebagai peringatan kepada semua pihak agar tidak mempertaruhkan masa depan negara demi kepentingan politik jangka pendek.

Anda Mungkin Berminat