Anwar Yakin Lawatan Negara Agong Ke Arab Saudi, Bahrain Bawa Manfaat Besar Kepada Rakyat

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa menjunjung kasih atas keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bagi memulakan Lawatan Negara ke Arab Saudi dan Bahrain yang bermula hari ini, sambil mendoakan agar perjalanan dirahmati dan membawa pulangan terbaik buat negara.

Dalam satu hantaran di Facebook, Anwar menyampaikan doa dan harapan agar lawatan rasmi itu dipermudah serta memberi limpahan manfaat kepada rakyat Malaysia.

“Merafak sembah dan menjunjung kasih atas keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bagi memulakan lawatan negara ke Arab Saudi dan Bahrain.

“Patik mendoakan semoga keberangkatan Tuanku dan delegasi dirahmati Allah Subhanahu Wata‘ala serta dikurniakan keselamatan, kesejahteraan dan kejayaan sepanjang lawatan negara ini,” katanya.

Anwar turut memohon ampun kerana tidak dapat mengiringi keberangkatan Seri Paduka atas faktor kesihatan yang tidak mengizinkan.

“Patik mohon ampun kerana tidak dapat bersama mengiringi keberangkatan Tuanku atas kekangan urusan kesihatan yang tidak mengizinkan,” katanya.

Beliau menyatakan keyakinan penuh bahawa lawatan itu akan membuka ruang baharu kerjasama strategik antara Malaysia dan negara-negara Teluk, sekali gus memperkukuh hubungan dua hala dan membawa pulangan yang bermakna kepada rakyat.

“Patik penuh yakin bahawa lawatan negara ini akan membawa limpahan manfaat serta pulangan yang terbaik buat rakyat dan negara,” ujarnya.

Istiadat Mengucap Selamat Berangkat berlangsung penuh istiadat di Pangkalan Udara TUDM Subang, menyaksikan Seri Paduka menerima tabik Hormat Diraja daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja, diiringi tembakan meriam 21 das dan lagu Negaraku.

Turut hadir mengiringi keberangkatan dan mengucapkan selamat jalan ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta barisan kepimpinan tertinggi kerajaan.

Lawatan ke Arab Saudi itu turut mencatat sejarah sebagai lawatan negara pertama oleh Yang di-Pertuan Agong ke negara itu sejak tahun 1984.

Anda Mungkin Berminat