Anwar yakin sidang kemuncak ASEAN bakal jadi himpunan berprofil tinggi

CYBERJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan penghargaan terhadap pemimpin-pemimpin awal ASEAN yang berjaya menggagaskan visi besar dalam membina komuniti serantau yang kukuh, meskipun ketika itu Asia Tenggara bergelut dengan pelbagai cabaran pasca-kemerdekaan.

Anwar berkata, hanya kepimpinan yang berpandangan jauh dan berani menghadapi cabaran domestik serta antarabangsa mampu meletakkan asas yang utuh bagi masa depan ASEAN.

“Mereka bukan sahaja melihat ke dalam negara, tetapi juga mengambil kira kepentingan jiran, rantau dan dunia.” katanya ketika berucap dalam majlis peringatan ulang tahun penubuhan ASEAN ke-58 di sini hari ini.

Beliau menegaskan bahawa walaupun ASEAN mencatat kemajuan, cabaran masih berterusan dan kejayaan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN akan dinilai berdasarkan pencapaian menjelang sidang kemuncak Oktober ini.

“Kita turut merayakan dan hari ini mencatat satu kejayaan hasil sumbangan pemikiran serta wawasan para pejuang, tokoh dan pendiri negara-negara ASEAN.” katanya.

Anwar turut menyatakan keyakinan bahawa sidang kemuncak ASEAN ke-47 nanti bakal menjadi perhimpunan paling berprofil tinggi, dengan kehadiran pemimpin seperti Presiden Amerika Syarikat dan Presiden China.

Beliau memuji kerjasama erat rakan-rakan ASEAN termasuk dari Thailand, Kemboja dan Indonesia dalam menyelesaikan isu keselamatan serantau, termasuk usaha damai antara Thailand dan Kemboja serta kemajuan awal dalam isu Myanmar.

Anwar hadir meraikan Hari ASEAN ke-58 dengan penekanan terhadap tema tahun ini Ke Arah Masa Depan ASEAN Yang Inklusif dan Lestari hari ini bertempat di Cyberjaya.

ASEAN ditubuhkan pada 8 Ogos 1967 oleh lima negara pengasas iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand, Singapura dan Filipina melalui Deklarasi Bangkok, bagi mempromosi kerjasama politik, ekonomi dan keselamatan di rantau Asia Tenggara.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat