Anwar Zahir Dukacita Atas Pemergian Dr Yaqub Mirza

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menzahirkan rasa dukacita atas pemergian tokoh terkemuka dunia Islam, Dr Yaqub Mirza, yang disifatkan sebagai seorang sarjana, penggerak kewangan Islam dan pembina institusi yang banyak berjasa kepada masyarakat antarabangsa.

Dalam satu hantaran di Facebook, Anwar menyifatkan Dr Yaqub sebagai sahabat keluarga yang akrab, seorang yang berjiwa besar, namun memilih untuk membina secara senyap tanpa mencari pengiktirafan.

“Saya amat berdukacita dengan pemergian Dr Yaqub Mirza.

“Beliau merupakan tokoh lama dalam dunia keilmuan Islam, kewangan dan pembinaan institusi serta seorang sahabat keluarga yang benar-benar akrab yang pernah bermimpi besar untuk dunia Islam.

“Beliau seorang yang tidak banyak berkata-kata, lebih gemar membina secara senyap daripada berbicara tentang apa yang sedang dibina,” katanya.

Perdana Menteri turut mengenang penglibatan panjang Dr Yaqub bersama International Institute of Islamic Thought (IIIT) di Amerika Syarikat, yang memperlihatkan disiplin tenang serta fokus beliau dalam memperkukuh institusi, menyokong sarjana dan membantu komuniti merancang masa depan.

“Beliau (Dr Yaqub) tidak pernah mencari pengiktirafan, namun ramai bergantung kepadanya untuk panduan kerana kemurahan hatinya tiada batas,” kata Anwar.

Dr Yaqub memainkan peranan penting dalam kewangan Islam melalui Amana Funds, selain menubuhkan Center for Islam in the Contemporary World di Shenandoah University, yang menjadi ruang untuk penglibatan serius terhadap cabaran umat Islam masa kini.

“Pemergian beliau merupakan kehilangan besar buat saya dan keluarga, malah kehilangan yang lebih besar bagi mereka di seluruh benua yang pernah mendapat manfaat daripada integriti, nasihat dan teladan beliau.

“Institusi yang dibentuknya dan insan yang disokongnya akan kekal menjadi sebahagian penting daripada legasi beliau. Al-Fatihah,” kata Perdana Menteri.

Anda Mungkin Berminat