Anwar Zahir Dukacita Atas Tragedi Letupan Di Delhi

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa sedih dan dukacita terhadap insiden letupan berhampiran Red Fort di New Delhi, India, pada malam Isnin yang meragut beberapa nyawa dan mencederakan ramai mangsa tidak bersalah.

Dalam satu hantaran yang dimuat naik di Facebook beliau, Anwar menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta seluruh rakyat India yang sedang berduka atas tragedi tersebut.

“Saya amat sedih dengan kejadian letupan ini. Ucapan takziah saya hulurkan kepada keluarga mangsa dan rakyat India.

“Jika disahkan sebagai perbuatan keganasan, ia wajar dikecam sekeras-kerasnya,” katanya.

Perdana Menteri turut berkata, tiada sebarang alasan yang boleh membenarkan tindakan keganasan yang mensasarkan orang awam dan menimbulkan ketakutan dalam kalangan masyarakat.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada pasukan penyelamat dan pihak berkuasa India yang sedang bertungkus-lumus mengenal pasti punca kejadian serta memburu pihak yang bertanggungjawab.

“Doa dan ingatan kami bersama semua yang terjejas,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat