PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa sedih dan dukacita yang mendalam atas pemergian tokoh perjuangan, Allahyarham Anuar Mohd Nor yang meninggal dunia semalam.
Menurut Anwar, pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar kepada gerakan perjuangan yang selama ini berteraskan prinsip dan keberanian.
“Raut wajahnya yang sentiasa tenang mengundang rasa pilu yang sukar diungkapkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, Allahyarham memikul beban perjuangan dengan penuh kesedaran bahawa perubahan hanya bermakna apabila diterjemahkan secara tegas dan berani.
Anwar turut mengingatkan bahawa pemergian itu menjadi peringatan kepada semua agar amanah dan tanggungjawab tidak disempitkan kepada kuasa semata-mata.
Sebaliknya, katanya, ia menuntut kejujuran serta ketegasan untuk tidak hanyut dengan kilauan kekuasaan yang boleh melalaikan.
“Saya mendoakan agar Allah SWT mengasihani roh Allahyarham dan menempatkannya dalam kalangan orang beriman,” katanya.
Allahyarham Anuar Mohd Nor dikenali sebagai antara pendiri awal gerakan perjuangan yang konsisten memperjuangkan perubahan berlandaskan nilai integriti dan keberanian sejak sekian lama.








