KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan mendalam terhadap keberanian dan kecekalan para aktivis Malaysia yang baru sahaja dibebaskan daripada tahanan rejim Zionis Israel selepas menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.
Perdana Menteri memaklumkan bahawa beliau sempat berinteraksi dengan para aktivis di Istanbul bagi bertanya khabar sebaik mereka dibebaskan.
Katanya, kesemua mereka berada dalam keadaan baik dan semangat perjuangan mereka kekal utuh.
“Alhamdulillah, semuanya berada dalam keadaan baik dan semangat mereka masih kental,” katanya.
Anwar turut menyanjung tinggi pengorbanan para aktivis yang sanggup meredah risiko demi memperjuangkan nasib rakyat Gaza yang terus dizalimi, menyifatkan mereka sebagai lambang keberanian rakyat Malaysia yang menjunjung nilai kemanusiaan tanpa mengenal sempadan.
“Saya menzahirkan penghargaan atas keberanian, kecekalan dan pengorbanan mereka dalam memperjuangkan nasib rakyat Gaza yang terus dizalimi.
“Mereka adalah lambang keberanian rakyat Malaysia yang menjunjung nilai kemanusiaan tanpa mengenal sempadan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa satu himpunan khas akan dianjurkan bagi meraikan kepulangan para aktivis tersebut ke tanah air sebagai tanda penghormatan terhadap perjuangan mereka dan untuk terus menyemarakkan semangat solidariti rakyat Malaysia bersama saudara-saudara di Gaza.
“Insya-Allah, saya menantikan ketibaan mereka di Kuala Lumpur kelak.
“Kita juga akan menganjurkan satu himpunan khas bagi meraikan kepulangan para wira dan wirawati kemanusiaan ini, selain terus menyemarakkan solidariti rakyat Malaysia bersama saudara-saudara kita di Gaza,” ujarnya.








