KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri Pakistan, Mian Muhammad Shehbaz Sharif serta delegasi beliau atas lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia yang berakhir hari ini dengan menyifatkannya sebagai pemangkin kepada hubungan dua hala yang semakin erat.
Dalam satu kenyataan pada Selasa, Anwar menyatakan bahawa lawatan tersebut bukan sekadar simbolik tetapi membuka lembaran baharu dalam kerjasama strategik antara kedua-dua negara.
“Lawatan ini bukan sekadar simbolik tetapi membuka ruang baharu untuk memperkukuh kerjasama strategik merangkumi perdagangan, pelaburan, industri halal, pendidikan dan pertahanan demi kemakmuran serta kesejahteraan rakyat kedua-dua negara,” katanya.
Beliau turut menegaskan komitmen Malaysia untuk terus memperluas hubungan diplomatik dan ekonomi dengan Pakistan, berlandaskan semangat persahabatan dan solidariti sesama negara Islam.
“Malaysia menghargai hubungan akrab dengan Pakistan yang dibina atas asas saling hormat dan kepercayaan.
“Saya yakin hubungan dua hala ini akan terus berkembang demi manfaat bersama rakyat kedua-dua negara,” katanya.
Terdahulu, Mian Shehbaz Sharif berlepas pulang ke Islamabad dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 11.50 pagi, selepas menamatkan lawatan rasmi beliau ke Malaysia.
Beliau menerima sambutan perpisahan penuh istiadat termasuk kawalan kehormat oleh Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).
Anwar turut hadir bagi mengucapkan selamat jalan kepada pemimpin Pakistan itu dan menyerahkan sebuah album khas yang mendokumentasikan kejayaan sepanjang lawatan sebagai tanda penghargaan.
Lawatan tersebut turut menyaksikan perbincangan antara kedua-dua pemimpin mengenai pelbagai isu serantau dan antarabangsa termasuk usaha memperkukuh suara negara membangun di platform global serta meningkatkan kerjasama dalam sektor strategik yang berpotensi tinggi.