Anwar Zahir Solidariti Malaysia Atas Tragedi Sekolah Dhaka

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa pilu dan solidariti terhadap insiden tragis yang mengorbankan nyawa kanak-kanak selepas sebuah jet pejuang terhempas ke dalam sebuah sekolah di Dhaka, Bangladesh.

Dalam satu hantaran di Facebook, hari ini, Anwar meluahkan betapa luluh hatinya sebaik mengetahui tentang nahas yang meragut ratusan nyawa yang majoritinya anak-anak muda.

“Hati saya hancur apabila mendapat tahu tentang nahas jet pejuang yang terhempas ke dalam sebuah sekolah di Dhaka, Bangladesh.

“Ramai yang terkorban, kebanyakannya merupakan kanak-kanak. Lebih seratus yang lain turut cedera,” katanya.

Antara mangsa yang menyentuh hati Perdana Menteri ialah seorang guru bernama Maherin Chowdhury yang dipuji atas keberanian luar biasa ketika menyelamatkan murid-muridnya.

“Antara mangsa ialah Maherin Chowdhury, seorang guru yang membawa murid-muridnya ke tempat selamat dan dengan keberanian yang luar biasa kembali semula ke dalam asap dan api untuk menyelamatkan lebih ramai.

“Keberanian beliau yang luar biasa tidak akan dilupakan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Anwar turut menyatakan komitmen Malaysia untuk terus berdiri bersama rakyat Bangladesh dalam menghadapi detik-detik sukar ini.

“Saya akan menulis surat kepada Profesor Muhammad Yunus bagi menyatakan solidariti Malaysia bersama saudara-saudari kita di Bangladesh.

“Dalam saat duka ini, kami berdiri bersama anda. Kami meratapi setiap nyawa yang terkorban dan setiap keluarga yang musnah,” tambahnya.

Terdahulu, media antarabangsa melaporkan bahawa sebuah jet pejuang tentera Bangladesh jenis F-7 BJI buatan China telah merempuh Sekolah dan Kolej Milestone di ibu negara Dhaka pada hari Selasa.

Nahas tersebut berlaku sejurus pelajar selesai menghadiri kelas, menyebabkan sekurang-kurangnya 20 orang terkorban dan lebih 170 lagi cedera.

Anda Mungkin Berminat