Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Dengan penuh kasih sayang, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan di saat Hari Ulang Tahun Mahligai Cintanya yang ke-46 bersama isteri tercinta, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.
Kata-kata itu diucapkan menerusi hantaran di laman rasmi Facebook beliau yang menyifatkan isterinya sebagai “cinta hati yang setia mendampingi dalam setiap suka dan lara” sepanjang lebih empat dekad melayari bahtera rumah tangga bersama.
Perdana Menteri turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas ketabahan serta sokongan tidak berbelah bahagi yang diberikan Dr Wan Azizah, khususnya ketika menempuh pelbagai cabaran dalam kerjaya politik, kehidupan peribadi dan urusan keluarga.
“Terima kasih atas kasih sayang, pengorbanan dan doa yang tidak pernah putus,” katanya.
Anwar memanjatkan doa agar Allah SWT terus memelihara serta memberkati rumah tangga yang dibina, selain mengharapkan ikatan mereka terus diperkukuh dengan rahmat Ilahi.
Seperti yang diketahui umum, Perdana Menteri dan isterinya menjadi simbolik pasangan suami isteri yang kekal setia, tabah dan cekal dalam medan politik negara.
Isterinya Wan Azizah, merupakan figura utama yang menerajui parti PKR serta mantan Timbalan Perdana Menteri pada ketika dahulu.
Beliau seringkali dilabel sebagai tonggak kekuatan keluarga, terutama ketika Anwar berdepan fasa getir dalam perjalanan politiknya.
Baca juga:








