Anwar zahirkan penghargaan buat Kerajaan Negeri Kedah meskipun berbeza pandangan politik

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan buat kerjasama Menteri Besar dan Kerajaan Negeri Kedah dalam penganjuran sambutan Aidilfitri pada Sabtu.

Anwar berkata demikian setelah meraikan Syawal di Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2024 Peringkat Negeri Kedah di Jitra.

Menerusi akaun Facebooknya, beliau memuji kerjasama penuh yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Kedah meskipun mempunyai berbeza pandangan politik.

“Saya maklumkan betapa Kedah punya peranan penting dari segi pengeluaran hasil padi dan menjamin keterjaminan makanan, namun pada masa sama kelompok penanam padi di negeri ini kekal miskin.

“Justeru, saya tekankan betapa kementerian dan agensi persekutuan perlu bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri untuk melaksanakan usaha-usaha membangunkan negeri Kedah, khususnya bagi membasmi kemiskinan.

“Ini termasuklah usaha meningkatkan pendapatan petani menerusi lonjakan hasil padi yang memerlukan perbelanjaan RM5 bilion daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya menerusi akaun Facebook beliau.

Dalam pada itu, Anwar turut menyentuh soal akhlak dan adab dalam perbezaan pandangan.

“Islam mengizinkan kita berbeza pandangan dalam soal tafsiran, pendekatan, strategi dan keutamaan, namun ia perlu diuruskan secara beradab dan berhemah.

“Semoga perbezaan yang ada tidak menjadi penghalang dalam usaha untuk terus memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Kedah demi manfaat dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat