Anwar Ziarah Keluarga Allahyarham Bung Moktar

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menziarahi keluarga Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin di kediaman keluarga di Damai, Kota Kinabalu bagi menyampaikan ucapan takziah atas pemergian tokoh politik berpengaruh Sabah itu.

Dalam kunjungan penuh hiba tersebut, Anwar mendoakan agar balu serta keluarga Allahyarham diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi kehilangan insan tersayang yang banyak berjasa dalam arena politik negeri dan negara.

Turut hadir, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, yang menyampaikan ucapan simpati bagi pihak kerajaan negeri sebagai tanda penghormatan kepada Allahyarham.

Bung Moktar, bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah dan Ahli Parlimen Kinabatangan, menghembuskan nafas terakhir awal pagi Jumaat.

Jenazah beliau telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Likas, Kota Kinabalu.

Allahyarham meninggalkan dua isteri iaitu Datin Seri Nor Asidah Alimudin bersama tiga anak serta Zizie Ezette Abdul Samad bersama empat anak.

Pemergian Bung Moktar bukan sahaja dirasai oleh keluarga tetapi juga oleh masyarakat Sabah yang mengenang sumbangan beliau dalam memperjuangkan kepentingan rakyat Kinabatangan dan negeri Sabah secara keseluruhannya.

Anda Mungkin Berminat