Oleh: Hanim Nadia
PARLIMEN | Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mempersoal apa jenayah terancang yang dilakukan oleh pemimpin dan pengikut GISBH sehingga dituduh atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang mengikut Akta 130V (1), semalam.
Beliau meminta kerajaan menjelaskan perkara itu dan dalam masa sama mempertikaikan penahanan individu-individu yang terlibat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012.
“Apakah kesalahan yang dikatakan dilakukan oleh mereka kerana dakwaan jenayah terancang? Apa tuduhannya? Apa jenayah terancang mereka lakukan?,” soalnya di Dewan Rakyat pada Khamis.
Semalam, seramai 22 individu termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kumpulan itu, Datuk Nasiruddin Mohd. Ali, didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.
Nasiruddin pada 16 Oktober lalu merupakan antara 16 individu yang ditahan semula di bawah SOSMA.
Sementara itu, Takiyuddin memuji tindakan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer yang konsisten memperjuangkan penentangan terhadap akta tersebut.
“Semalam Jelutong kata tidak bersetuju dengan SOSMA. Hanya Jelutong sahaja yang berani perjuangkan. Tahniah tapi apa tindakan Jelutong untuk menentang SOSMA yang dianggap undang-undang yang zalim.
“Bagi kami, Perikatan Nasional (PN) kami terima SOSMA tapi yang kami tidak terima penyalahgunaan SOSMA termasuk terhadap GISBH,” tegasnya.
Dalam pada itu, Rayer mengumumkan menawarkan khidmat guaman percuma kepada ahli kumpulan GISBH yang ditahan di bawah SOSMA.
“Saya sebagai backbencher menentang SOSMA kalau boleh sekarang saya akan menawarkan perkhidmatan saya untuk membela mereka (pengikut GISBH) ,” katanya ketika mencelah perbahasan Takiyuddin.