‘Apa Kami Lalui, Tak Seberat Derita Gaza’ – Ketua Delegasi

Oleh: Nadhirah Akmam

SEPANG: Ketua Delegasi Malaysia, Profesor Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali, bagi misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG), berkongsi pengalaman ditahan tentera Israel ketika kapal mereka dipintas pada 8 Oktober lalu.

Beliau berkata, walaupun aktivis Malaysia tidak mengalami kekasaran melampau, beberapa rakan mereka tetap berdepan layanan kasar sepanjang proses penahanan.

“Saya sendiri diikat tangan ke belakang dan diseret sejauh kira-kira 200 meter oleh dua askar Israel. Tangan dilipat hingga hampir patah dan disuruh berlutut selama sejam,” katanya kepada media ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) petang Ahad.

Beliau turut menjelaskan bahawa sebahagian aktivis dari negara lain, termasuk warga Israel sendiri yang menyertai misi itu, dilayan lebih teruk oleh tentera rejim.

“Ada yang ditendang, ditolak dan dipukul dengan kasar. Kami bersyukur kerana masih dilindungi,” ujarnya.

Namun, katanya lagi, apa yang mereka lalui masih tidak seberapa jika dibandingkan dengan penderitaan sebenar rakyat Gaza yang terus hidup di bawah kepungan dan serangan berterusan Israel.

“Kesusahan kami cuma seketika, tapi rakyat Gaza menanggung seksa setiap hari. Itu sebabnya kami sertai misi ini, untuk buka mata dunia bahawa sekatan ini kejam dan tidak berperikemanusiaan,” jelas beliau.

Beliau turut menafikan dakwaan wujud sabotaj dalam pelayaran kali ini, sebaliknya memaklumkan pemilihan peserta dibuat dengan sangat rapi bagi mengelak sebarang risiko keselamatan.

Dr Mohd Alauddin merupakan antara sembilan aktivis Malaysia dalam misi kemanusiaan itu yang ditahan Israel di perairan antarabangsa sebelum dibebaskan pada 10 Oktober hasil rundingan diplomatik antara kerajaan Malaysia dan Turkiye.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat