APAD keluar surat tunjuk sebab kepada syarikat pengendali bas

PETALING JAYA: Negara dikejutkan dengan kemalangan tragis di Lebuhraya Timur–Barat yang meragut 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) awal pagi semalam.

Insiden yang berlaku di Kilometer 53 berhampiran Tasik Banding turut mencederakan 27 pelajar lain serta beberapa penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV) yang terlibat.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dalam kenyataannya menzahirkan rasa dukacita terhadap tragedi itu.

“Setiap nyawa yang terkorban adalah satu kehilangan besar bukan sahaja kepada keluarga, tetapi kepada masa depan negara.

“Saya merakamkan ucapan takziah kepada semua keluarga mangsa,” katanya.

Menurut beliau, sejurus selepas kejadian, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada syarikat pengendali bas terbabit.

“Sementara Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang melaksanakan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) ke atas bas serta syarikat berkenaan mengikut peruntukan Akta Pengangkutan Jalan dan Akta Pengangkutan Awam Darat.

“Tindakan tegas akan diambil sejurus siasatan selesai,” tegas Anthony Loke.

Dalam usaha memperkukuh keselamatan jalan raya, katanya, kerajaan sedang merangka dasar baharu termasuk pelaksanaan wajib ‘Speed Limiter’ bagi kenderaan berat.

“Polisi ini sedang diteliti secara menyeluruh bagi memastikan tiada ruang manipulasi selepas ia dikuatkuasakan,” katanya.

Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan Tinggi dan pengurusan UPSI turut mengambil langkah segera dalam menyantuni keluarga mangsa.

“Kejadian ini harus menjadi peringatan kepada semua pihak—kerajaan, pengendali, dan masyarakat—bahawa tiada kompromi dalam soal keselamatan nyawa.

“Doa saya sentiasa mengiringi para mangsa serta keluarga mereka dalam menghadapi saat yang amat sukar ini,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat