Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Baling berjaya menangkap seekor ular tedung selar di bawah rak baju berhampiran dapur seorang penduduk Kampung Keledang, Baling, Kedah.
Kejadian pada pukul 4.30 petang hari Sabtu berkenaan disedari penduduk itu apabila terdengar bunyi dengusan dari bawah almari terbabit.
Dia terus menghubungi pihak APM untuk mendapatkan bantuan setelah merasa risau akan keselamatannya.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Abd Aziz berkata, pihaknya yang menerima panggilan berhubung kehadiran ular berkenaan pada jam 4.40 petang bergegas ke lokasi dan tiba di situ kira-kira 15 minit kemudian.
“Lima anggota APM Baling melakukan pemeriksaan sebelum mendapati ular tedung selar yang sedang ‘berehat’ itu masih berada di bawah rak baju berkenaan.
“Ular tedung selar atau lebih dikenali sebagai King Cobra sepanjang lima meter dan beratnya 20 kilogram (kg) itu akhirnya berjaya ditangkap dan dibawa pulang ke pejabat APM Baling untuk tindakan lanjut,” katanya, memetik laporan Berita Harian.
Faizul turut menambah, dalam tempoh Januari ini sahaja pihak APM Baling menerima laporan 12 kes berkaitan ular yang mana enam kes itu membabitkan ular tedung selar.
“Kami menasihatkan penduduk supaya berhati-hati dan jangan bertindak sendiri dengan memukul ular kerana bimbang keselamatan terancam sekiranya diserang atau dipatuk.
“Sebaliknya, mereka perlu terus menghubungi pasukan penyelamat di talian MERS 999 atau Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) APM Baling sendiri di talian 019-5307091 yang beroperasi 24 jam,” katanya.
Baca juga: