Arab Saudi Anjur Persidangan, Pameran Haji Umrah Antarabangsa Ke-5

JEDDAH: Arab Saudi terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju dalam pengurusan ibadah haji dan umrah apabila bakal menganjurkan Persidangan dan Pameran Haji dan Umrah Antarabangsa ke-5 dari 9 hingga 12 November 2025 di Jeddah.

Menurut kenyataan media Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, acara berprestij selama empat hari itu akan menjadi platform utama bagi merevolusikan sistem pengurusan haji negara tersebut, sekali gus memperkasa ekosistem ibadah suci umat Islam dari seluruh dunia.

“Persidangan anjuran Kementerian Haji dan Umrah itu menjadi platform utama bagi menampilkan inisiatif nasional Arab Saudi dalam memperkukuh ekosistem pengurusan haji serta mempertingkatkan mutu perkhidmatan kepada jemaah dari seluruh dunia,” katanya.

Acara itu dijangka menghimpunkan lebih 260 pempamer dan 95 pakar antarabangsa dengan lebih 80 sesi forum dan 60 bengkel khusus yang akan disertai oleh ahli akademik, penyelidik serta wakil pejabat hal ehwal haji dan misi diplomatik dari pelbagai negara.

Selain itu katanya, lebih 2,400 peserta latihan dari seluruh dunia dijangka mengambil bahagian, manakala kehadiran pengunjung pula diramal melebihi 150,000 orang dari dalam dan luar Arab Saudi.

Sebagai sebahagian daripada usaha mempertingkatkan pengalaman jemaah, kementerian turut memperkenalkan beberapa inisiatif baharu dalam sistem pengurusan haji dan umrah.

Antaranya termasuk ‘E’asha-thon’, iaitu model penghantaran makanan yang fleksibel dan peribadi; ‘Humanizing the Holy Sites’, inisiatif yang bertujuan mewujudkan ruang dan perkhidmatan yang meningkatkan keselesaan jemaah serta ‘Sustainable Solutions’, yang mempromosikan penggunaan tenaga bersih, teknologi penyejukan pintar dan pengurusan sumber yang cekap bagi menyokong kelestarian alam sekitar sepanjang musim haji.

“Tiga tema utama akan menjadi tumpuan persidangan kali ini iaitu transformasi digital, pengurusan pintar dan kemampanan operasi, yang penting dalam membentuk sistem haji yang lebih berdaya tahan dan efisien.

“Pendekatan ini sejajar dengan aspirasi Wawasan Saudi 2030 serta Program Pengalaman Jemaah, yang berhasrat memanfaatkan teknologi untuk menjadikan perjalanan haji lebih lancar, selamat dan lestari,” katanya.

Anda Mungkin Berminat