Arab Saudi Berperanan Utama Redakan Ketegangan India-Pakistan

RIYADH: Arab Saudi semakin menonjol sebagai kuasa diplomatik utama dalam meredakan ketegangan antara India dan Pakistan, menyusuli serangan maut yang berlaku di Kashmir pada April lalu.

Menurut laporan agensi media Anadolu, Kerajaan Arab Saudi mengambil langkah berani dengan menjadi negara pertama menghantar utusan khas ke New Delhi dan Islamabad.

Inisiatif itu diketuai oleh Menteri Luar, Putera Faisal bin Farhan bersama Menteri Negara bagi Hal Ehwal Luar, Adel Al-Jubeir.

Tindakan proaktif itu membuka jalan kepada pengumuman gencatan senjata pada 10 Mei yang menerima pujian daripada pemimpin Pakistan.

Mereka menyifatkan penglibatan Riyadh sebagai langkah ikhlas dan berkesan dalam usaha mencapai kestabilan serantau.

Para penganalisis melihat reaksi pantas Arab Saudi sebagai petanda keyakinan baharu dalam dasar luar negara itu, memperkukuh peranannya sebagai perantara yang dipercayai dalam menangani konflik serantau dengan pendekatan seimbang dan konstruktif.

Minggu lalu, India telah melancarkan serangan peluru berpandu ke beberapa lokasi di wilayah Pakistan.

Serangan itu disasarkan kepada “infrastruktur pengganas” dengan India menegaskan bahawa tindakan tersebut bersifat “tertumpu, berhemah dan bukan bertujuan mencetuskan konflik.”

India turut menyatakan bahawa serangan itu adalah tindak balas terhadap insiden pada 22 April di kawasan Pahalgam, Kashmir yang ditadbir India, sambil menekankan bahawa tiada kemudahan ketenteraan Pakistan yang menjadi sasaran.

Arab Saudi kini memperkukuh kedudukannya sebagai pemain utama dalam diplomasi dunia, memperlihatkan keupayaannya sebagai kuasa perantara dalam menyelesaikan konflik secara damai.

Anda Mungkin Berminat