Arab Saudi larang rekod, siaran langsung solat Tarawih

JEDDAH: Kerajaan Arab Saudi telah mengeluarkan larangan penggunaan kamera untuk merekod jemaah yang menunaikan solat tarawih termasuk siaran langsung ibadah tersebut.

Larangan itu diumumkan oleh Kementerian Urusan Islam, Dakwah dan Bimbingan Arab Saudi baru-baru ini, memetik laporan Gulfnews.

Larangan itu bukan sahaja terpakai untuk solat tarawih sepanjang bulan Ramadan tetapi juga untuk semua solat berjemaah di masjid.

Menurut kementerian, larangan itu bertujuan untuk memastikan kesucian masjid, mencipta suasana kondusif bagi menjalani ibadah serta menjamin keselesaan jemaah.

“Kementerian juga menekankan pentingnya imam dan khatib untuk mematuhi garis panduan yang ditetapkan serta membimbing jemaah agar mematuhi etika yang sesuai di dalam masjid,” kata kenyataan itu.

Selain itu, kementerian turut melarang pengumpulan derma untuk jamuan berbuka puasa di dalam masjid.

“Umat Islam yang ingin berkongsi berbuka puasa diminta untuk melaksanakannya di tempat yang telah ditentukan oleh pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Anda Mungkin Berminat