Arif Aiman Dinobat Pemain Paling Bernilai 4 Tahun Berturut-turut

PETALING JAYA: Arif Aiman Mohd Hanapi, bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), mencipta sejarah dengan menjadi pemain pertama yang dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) sebanyak empat kali berturut-turut pada Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2024-2025.

Pemain berusia 23 tahun itu juga mendominasi tiga kategori lain, iaitu Pemain Tengah Terbaik, Gol Terbaik Liga Malaysia (Liga-M) 2024-2025 dan Fans XI (Penyerang).

Ini merupakan kali pertama beliau memenangi kategori Pemain Tengah Terbaik, setelah sebelumnya meraih gelaran Penyerang Terbaik sebanyak tiga kali sejak 2021 hingga 2023.

Arif Aiman terus menunjukkan kehebatannya di Liga-M musim ini dengan menghasilkan 12 gol dan 13 ‘assist’, membantu JDT menjulang trofi Liga Super, Piala FA serta melangkah ke final Piala Malaysia.

Kejayaan itu meletakkan beliau dalam kelas tersendiri, mengatasi rekod bekas penyerang kebangsaan Norshahrul Idlan Talaha yang memenangi gelaran MVP tiga kali berturut-turut dari 2010 hingga 2012.

Beliau menyatakan rasa syukur atas pencapaiannya tetapi mengakui masih belum berpuas hati dan bertekad untuk terus meningkatkan prestasi.

Selain itu, rakan sepasukannya, Bergson da Silva, turut mencuri perhatian dengan meraih Kasut Emas Liga Super dan dinobatkan sebagai Pemain Import Terbaik.

Anda Mungkin Berminat