PEMAIN harapan negara, Arif Aiman Hanapi dilapor tidak sempat meraikan kemenangan besar Harimau Malaya 5-1 ke atas Laos malam tadi selepas terus berlepas ke Riyadh, Arab Saudi, bagi menghadiri Majlis Anugerah Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2025 yang dijadualkan berlangsung hari ini di Pusat Kebudayaan King Fahd.
Tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT) itu merupakan wakil tunggal Malaysia yang dicalonkan dalam kategori Pemain Terbaik Tahunan AFC, bersama dua lagi bintang ternama Asia, Akram Afif dari Qatar dan Salem Al-Dawsari dari Arab Saudi.
Arif Aiman, 23, berdepan saingan sengit daripada Akram, yang membantu negaranya menjulang Piala Asia 2023, serta Al-Dawsari, pemenang Anugerah Pemain Terbaik AFC 2022.
Pencalonan tersebut disifatkan sebagai pengiktirafan besar buat Arif Aiman dan bola sepak Malaysia, hasil prestasi konsistennya bersama JDT serta sumbangan pentingnya kepada skuad kebangsaan sepanjang dua tahun kebelakangan ini.
Dalam aksi Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi, Arif Aiman sekali lagi menjadi watak penting membantu Malaysia mencatat kemenangan keempat berturut-turut untuk kekal di tangga teratas kumpulan.
Musim lalu, pemain lincah itu muncul antara pemacu utama kejayaan JDT mempertahankan kejuaraan Liga Super, selain memainkan peranan penting dalam membawa Harimau Malaya mara ke pusingan ketiga kelayakan.
Di bawah bimbingan jurulatih Peter Cklamovski, Arif Aiman kini menjadi tunjang utama sistem serangan Malaysia, diberi kebebasan mencipta peluang dan mengucar-ngacirkan pertahanan lawan dari posisi sayap kiri.
Difahamkan, Arif Aiman berlepas ke Riyadh sejurus tamat perlawanan malam tadi, menyebabkan kelibatnya tidak kelihatan ketika rakan sepasukan meraikan kemenangan bersama penyokong di Stadium Bukit Jalil.
Baca juga: