ART: Kerajaan mahu jaminan bertulis USTR sebelum dimuktamadkan

PARLIMEN | Kerajaan menekankan keperluan mendapatkan jaminan bertulis daripada United States Trade Representative (USTR) sebelum perjanjian perdagangan dua hala (ART) dimuktamadkan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menjelaskan perjanjian itu masih berada dalam peringkat perundingan, dengan beberapa klausa belum dimuktamadkan kerana masih memberi ruang untuk jawapan balas.

“Setakat ini, penguatkuasan belum berlaku dan beberapa peruntukan sedang diteliti untuk penambahbaikan serta penyesuaian,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau menjawab soalan kepada Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) mengenai sama ada kerajaan telah menghantar pemberitahuan bertulis seperti yang dinyatakan dalam kenyataan Jabatan Peguam Negara pada 3 November 2025 berkaitan ART kepada Amerika Syarikat.

Anwar menegaskan kerajaan sedang memastikan setiap klausa perjanjian, termasuk Klausa 72, diperoleh jaminan bertulis bagi melindungi kepentingan Malaysia.

“Pendekatan ini adalah sebahagian daripada strategi diplomasi bijaksana, bagi mengukuhkan hubungan antarabangsa tanpa mengambil sikap permusuhan.

“Kerajaan sedang menghubungi USTR dan meneliti setiap aspek perjanjian supaya kepentingan negara tidak terjejas,” tambahnya.

Dalam masa sama, Anwar menekankan pentingnya memastikan perjanjian ART tidak menimbulkan tekanan berlebihan terhadap Malaysia dan memberi masa yang mencukupi sebelum sebarang penguatkuasaan dilakukan.

Langkah ini juga sejajar dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan hubungan perdagangan dengan negara lain termasuk China, India, Australia, Brazil, Afrika Selatan serta blok ASEAN dan EU.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat