‘Artis jadi pengerusi FINAS, bukan PSM’, isu rumput SNBJ terus jadi perdebatan

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, Datuk Mohd Puad Zarkashi meluahkan rasa bimbang terhadap keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang masih pada tahap tidak memuaskan untuk mengadapan perlawanan bola sepak.

Katanya, tidak menjadi masalah untuk mengadakan konsert di stadium, namun perlu menitikberatkan soal keadaan rumput yang bernilai jutaan ringgit.

Malah, beliau turut mengkritik Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) yang disandang oleh Datuk Hans Issac yang terkenal dengan portfolio sebagai seorang selebriti.

“Patutlah Stadium Bukit Jalil disewa untuk konsert Coldplay, rupanya Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia seorang artis.

“Selepas ini stadium bola atau hoki jangan lagi benarkan untuk konsert, boleh sewa, tetapi jangan benarkan penonton berdiri atas rumput,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Sabtu.

Tambahnya, jawatan pengerusi PSM seharusnya dilantik berdasarkan pengetahuan dan pengalaman dalam bidang sukan.

“Main bola sepak berkualiti mestilah di padang yang berkualiti, hanya jauhari mengenal manikam. Artis lebih sesuai jadi Pengerusi FINAS (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia).

Isu keadaan padang rumput menjadi hangat diperkatakan terutama ketika menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia pasukan Johor Darul Takzim (JDT) menentang Terengganu FC (TFC) baru-baru ini.

Kerosakan rumput dipercayai akibat persembahan konsert kumpulan terkenal dunia, Coldplay yang berlangsung pada 22 November.

Pada masa sama, perdebatan dalam kalangan warganet apabila stadium itu dijangka menjadi lokasi penganjuran konsert artis antarabangsa, Ed Sheeran pada 24 Februari 2024.

Untuk rekod, pada Mac 2022, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sedia menaja kos perbelanjaan rumput jenis Zeon Zoysia yang dianggarkan bernilai RM1.5 juta.

Anda Mungkin Berminat