AS dan China turut serta mesyuarat pasca persidangan AMM

KUALA LUMPUR: Menteri-menteri luar ASEAN akan mengadakan sesi bersama sembilan rakan dialog termasuk Amerika Syarikat dan China pada Khamis, sempena Mesyuarat Pasca Persidangan Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM) dan mesyuarat berkaitan.

Selain dua kuasa besar itu, pertemuan berasingan turut dijadualkan dengan Australia, Kanada, India, New Zealand, Jepun, Rusia dan Republik Korea, bermula jam 9 pagi, hari ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam ucapan perasmian AMM ke-58 pada Rabu berkata, ASEAN akan berinteraksi dengan 11 rakan dialog utama sebagai persediaan ke arah ASEAN+3 dan Sidang Kemuncak Asia Timur.

Antara acara penting Khamis termasuk Mesyuarat Tiga Hala antara Malaysia, Switzerland dan Sekretariat ASEAN pada jam 12.45 tengah hari, diikuti Mesyuarat Menteri Kerjasama Mekong-Jepun ke-16, serta Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN+3 ke-26 bersama China, Jepun dan Republik Korea.

Pada sebelah malam, Mohamad akan meraikan rakan sejawatnya dalam Majlis Makan Malam Gala di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan yang berlangsung dari 8 hingga 11 Julai di bawah Kepengerusian Malaysia 2025 bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”, menghimpunkan sekitar 1,500 delegasi dan melibatkan 24 mesyuarat peringkat menteri.

Semua Menteri Luar ASEAN hadir, kecuali Myanmar yang diwakili pegawai kanan kementerian, manakala Timor-Leste turut hadir sebagai pemerhati.

Ini merupakan kali kelima Malaysia memegang Pengerusi ASEAN selepas 1977, 1997, 2005 dan 2015, dalam usaha memperkukuh kerjasama serantau dan membincangkan isu global serta keselamatan yang mendesak.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat