AS, Israel Lancar Serangan Udara ke Atas Tapak Nuklear Iran

TEHRAN: Sistem pertahanan udara Iran diaktifkan awal pagi Isnin selepas Israel mendakwa melancarkan serangan ke atas ‘sasaran ketenteraan’ di beberapa kawasan termasuk Tehran.

Ketegangan meningkat apabila Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengesahkan bahawa AS telah melancarkan serangan udara ke atas tiga tapak nuklear utama Iran.

“Kami telah melaksanakan serangan yang sangat berjaya ke atas tiga tapak nuklear di Iran dan ia telah ‘dimusnahkan sepenuhnya’,” kata Trump dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad.

Bagaimanapun, tahap sebenar kemusnahan masih belum dapat dipastikan.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menyifatkan tindakan tersebut sebagai satu ‘perubahan yang berbahaya’ dalam konflik serantau.

Beliau menyeru semua pihak agar menahan diri dan mengelakkan tindakan yang boleh mencetuskan perang berskala besar.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, pula menyatakan bahawa negaranya telah ‘bergerak lebih dekat’ kepada matlamatnya di Iran selepas serangan udara yang diarahkan oleh Trump.

“Ini adalah detik penting dalam sejarah Israel,” katanya.

Sementara itu, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi telah tiba di Moscow untuk mengadakan rundingan dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin, berhubung situasi terkini.

Kehadiran beliau menandakan usaha diplomatik Iran untuk mendapatkan sokongan antarabangsa di tengah-tengah tekanan ketenteraan yang semakin memuncak.

Ketegangan antara Israel dan Iran telah berlangsung selama beberapa dekad dengan kedua-dua negara terlibat dalam perang bayangan melalui serangan siber, operasi rahsia dan sokongan kepada kumpulan proksi.

Sejak serangan Hamas ke atas Israel pada Oktober 2023, Israel telah meningkatkan serangan ke atas sekutu Iran termasuk Hezbollah dan Houthi dan menjadikan Tehran semakin terasing di rantau itu.

Serangan udara AS pada 22 Jun, yang dinamakan Operation Midnight Hammer menyasarkan tiga fasiliti nuklear utama Iran iaitu di Fordow, Natanz dan Isfahan menggunakan bom penembus bunker seberat 30,000 paun serta peluru berpandu Tomahawk.

Serangan itu menandakan penglibatan langsung pertama AS dalam konflik Iran-Israel yang tercetus sejak 13 Jun lalu.

Iran telah mengecam tindakan itu sebagai satu pengisytiharan perang dan memberi amaran bahawa tindak balas mereka akan ‘lebih dahsyat’ jika serangan berterusan.

Anda Mungkin Berminat