Oleh: Tyah Helmi
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memaklumkan pihaknya telah melancarkan serangan udara ke atas kumpulan Militan Daesh (IS) di barat laut Nigeria pada Khamis.
Trump menerusi kenyataan di platform Truth Social berkata, serangan itu dilaksanakan dengan mendakwa kumpulan tersebut telah menyasarkan serangan malah membunuh penduduk awam khususnya penganut Kristian di wilayah tersebut.
Dalam pada itu, Komando Afrika Tentera AS (AFRICOM) mengesahkan bahawa operasi terbabit dilaksanakan di daerah Sokoto, Nigeria dengan kerjasama rapat pihak berkuasa negara itu dan berjaya membunuh beberapa anggota IS.
Serangan itu berlaku selepas Trump memberi amaran bahawa komuniti Kristian di Nigeria berdepan ancaman serius, selain menyatakan AS bersedia mengambil tindakan ketenteraan sekiranya keganasan tidak dibendung.
Dalam perkembangan berkaitan, Reuters melaporkan AS telah menjalankan penerbangan risikan di ruang udara Nigeria sejak akhir November lalu bagi mengumpul maklumat perisikan.
Kementerian Luar Nigeria pula mengesahkan serangan itu adalah sebahagian daripada kerjasama keselamatan berterusan antara kedua-dua negara, termasuk perkongsian risikan dan penyelarasan strategik untuk mengekang kumpulan militan.
Sementara itu, Pentagon memuat naik video yang menunjukkan peluru berpandu dilancarkan dari sebuah kapal perang.
Seorang pegawai pertahanan AS memaklumkan beberapa kem militan IS dikenal pasti sebagai sasaran.
Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth, dalam kenyataan di platform X mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Nigeria atas sokongan dan kerjasama, sambil menyatakan tindakan lanjut akan menyusul.
Bagaimanapun, kerajaan Nigeria menegaskan bahawa kumpulan bersenjata di negara itu menyasarkan kedua-dua komuniti Islam dan Kristian, dan situasi keselamatan adalah lebih kompleks daripada gambaran yang diberikan.
Nigeria turut menekankan komitmennya untuk melindungi kebebasan beragama, namun bersetuju untuk terus bekerjasama dengan AS bagi memperkukuh keupayaan pasukan keselamatannya menentang kumpulan militan.
Baca juga:








