KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS) komited mengekalkan kadar tarif timbal balas ke atas Malaysia pada kadar 19 peratus.
Dalam kenyataan bersama antara kedua-dua negara, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memaklumkan bahawa keputusan itu merupakan sebahagian daripada Agreement on Reciprocal Trade atau Perjanjian Perdagangan Timbal Balik yang baru dimeterai.
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan yang dikeluarkan oleh The White House pada Ahad, AS turut bersetuju menghapuskan tarif ke atas beberapa produk terpilih Malaysia yang disenaraikan dalam Annex III kepada Executive Order 14346.
Langkah itu dijangka memberi kelebihan daya saing kepada pengeksport tempatan di pasaran AS.
Melalui perjanjian berkenaan, Malaysia akan memberikan akses pasaran lebih luas kepada barangan eksport AS termasuk bahan kimia, jentera, kelengkapan elektrik, logam, kenderaan penumpang serta hasil pertanian seperti tenusu, ayam, minuman, beras dan etanol.

Selain itu, Malaysia turut bersetuju menangani halangan bukan tarif yang sebelum ini menjejaskan kelancaran dagangan dua hala, termasuk menerima kenderaan AS yang mematuhi piawaian keselamatan dan emisi negara itu, memudahkan lesen import produk berasaskan logam serta menyelaraskan keperluan halal bagi kosmetik, farmaseutikal dan peranti perubatan.
Dalam sektor pertanian dan makanan, Malaysia akan memudahkan kemasukan produk dari AS dengan menerima sijil pengawalseliaan yang dikeluarkan pihak berkuasa negara itu serta memperkenalkan proses pendaftaran kemudahan dan pensijilan halal yang lebih ringkas bagi mempercepatkan urusan import.
The White House turut menyatakan bahawa perjanjian itu memperkukuh aspek perdagangan digital, perlindungan alam sekitar dan hak buruh, termasuk menangani pembalakan haram, subsidi perikanan serta isu buruh paksa dalam sektor berisiko tinggi.
Malaysia juga memberi jaminan tidak akan mengenakan cukai perkhidmatan digital yang mendiskriminasi syarikat AS, di samping mengekalkan moratorium ke atas duti kastam bagi penghantaran elektronik rentas sempadan.
Dalam sektor sumber asli, Malaysia komited untuk tidak mengenakan sekatan eksport atau kuota terhadap unsur nadir bumi dan mineral kritikal ke AS serta mempercepat pembangunan sektor itu melalui kerjasama dengan syarikat Amerika bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran.
Kedua-dua negara turut mengambil maklum mengenai beberapa perjanjian komersial besar yang bakal dimeterai antara syarikat AS dan Malaysia, termasuk pembelian 30 pesawat dengan pilihan tambahan 30 unit lagi serta pembelian semikonduktor, komponen aeroangkasa dan peralatan pusat data bernilai AS$150 bilion.
Turut dimeterai ialah pembelian gas asli cecair (LNG) sehingga lima juta tan metrik setahun bernilai AS$3.4 bilion, pembelian arang batu serta produk telekomunikasi bernilai AS$204.1 juta, selain pelaburan modal Malaysia di AS bernilai AS$70 bilion.
The White House menambah bahawa Jabatan Perbendaharaan AS dan Bank Negara Malaysia (BNM) kini sedang memuktamadkan persefahaman dasar mata wang bagi memastikan hubungan ekonomi yang adil dan seimbang.
Perjanjian itu dijangka dimuktamadkan sepenuhnya selepas kedua-dua negara menyelesaikan formaliti domestik dalam tempoh beberapa minggu akan datang.
Baca juga:








