PETALING JAYA: Amerika Syarikat (AS) memuji peranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menjayakan rundingan gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja yang membawa kepada persetujuan untuk menghentikan konflik sempadan bermula tengah malam Isnin.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio dalam kenyataan rasmi berkata, gencatan senjata itu merupakan langkah penting ke arah meredakan ketegangan yang berlarutan di kawasan sempadan kedua-dua negara Asia Tenggara tersebut sejak beberapa minggu lalu.
“Presiden Donald Trump dan saya berpegang teguh kepada pendirian agar segala bentuk keganasan dihentikan segera. Kami juga mengharapkan kedua-dua negara menepati komitmen mereka dalam menamatkan konflik ini.
“Kami menghargai kepimpinan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta kesediaan beliau menjadi tuan rumah kepada rundingan gencatan senjata ini,” katanya.
Rubio turut menegaskan bahawa AS akan terus menyokong proses damai berkenaan dan akan kekal terlibat secara aktif dalam kerjasama bersama Malaysia bagi memastikan kestabilan serantau.
“Kami menggesa semua pihak agar mematuhi sepenuhnya segala persefahaman yang telah dicapai demi menjamin kejayaan jangka panjang rundingan ini,” tambahnya.
Rundingan damai tersebut menyaksikan persetujuan bersama antara Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai.
Kejayaan itu diumumkan oleh Anwar selaku hos dan Pengerusi ASEAN dalam Mesyuarat Khas Thailand-Kemboja yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.
Baca juga: