KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS) masih membuka ruang untuk pelarasan kadar tarif melalui rundingan aktif bersama beberapa negara, termasuk rakan dagang dari rantau Asia Tenggara.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, berkata perbincangan giat dijalankan semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM) untuk mencari titik keseimbangan baharu dalam perdagangan global.
“Pasaran perlukan kepastian, jadi kami tetapkan kadar asas bermula 1 Ogos, tetapi rundingan masih berjalan. Minggu depan kami akan berbincang dengan Jepun dan hampir semua negara yang hadir turut terlibat,” katanya kepada media.

Isnin lalu, Presiden AS Donald Trump mengumumkan tarif baharu antara 25 hingga 40 peratus ke atas 14 negara dan mengeluarkan arahan eksekutif untuk pelaksanaan tarif timbal balik bermula Ogos ini.
Menurut Rubio, semua negara akan menerima surat rasmi berkaitan inisiatif Trump untuk menyeimbangkan semula perdagangan antarabangsa, yang dianggap tidak adil kepada ekonomi dan tenaga kerja AS.
“Ini usaha untuk cipta keseimbangan baharu dalam sistem perdagangan global. Saya percaya negara Asia Tenggara berpotensi menikmati kadar tarif yang lebih baik daripada negara lain,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan AS tetap komited memperkukuh kerjasama strategik dan ekonomi di rantau Indo-Pasifik, terutama Asia Tenggara, yang disifatkan sebagai pusat pertumbuhan masa depan.
Rubio turut memuji mesyuarat tiga hala antara AS, Jepun dan Filipina yang menurutnya memperlihatkan komitmen terhadap keselamatan maritim, kedaulatan wilayah dan pembangunan ekonomi serantau.
“Lebih 6,000 syarikat AS telah melabur di Asia Tenggara. Rantau ini mempunyai populasi muda dan potensi besar. Abad ke-21 akan banyak dipengaruhi oleh perkembangan di Indo-Pasifik, dan kami tidak akan berundur,” katanya.
Baca juga: