PETALING JAYA: Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia telah menunjukkan kepimpinan yang kukuh dan visi strategik dalam menangani cabaran utama, memupuk pertumbuhan ekonomi serta mengukuhkan perpaduan dalam kalangan ahli.
Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari menegaskan bahawa kritikan terhadap jawatan pengerusi ASEAN yang disandang Malaysia adalah tidak berasas.
Jelasnya, sejak awal, Malaysia telah menunjukkan komitmen yang tinggi untuk meningkatkan kapasiti institusi ASEAN dalam menghadapi cabaran serantau.
“Usaha ini termasuk menyelaraskan proses membuat keputusan dan menambah baik penyelarasan di kalangan badan ASEAN bagi memastikan tindakan yang lebih cepat dan tegas terhadap isu keselamatan, ekonomi dan sosial.
“Malaysia juga menyokong Sekretariat ASEAN yang lebih kukuh dengan sumber yang mencukupi untuk mengurus agenda pengembangan rantau ini.
“Selain itu, Malaysia telah mendesak pelaksanaan penuh Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP) untuk meningkatkan aliran perdagangan dan pelaburan serta mengukuhkan kedudukan ASEAN sebagai hab ekonomi global,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Mengulas lanjut katanya, dalam soal keselamatan serantau, Malaysia mengukuhkan kedudukan kolektif ASEAN di Laut China Selatan dengan menyokong Kod Tatakelakuan (COC) yang mengikat secara sah dengan China untuk mencegah konflik dan memastikan kebebasan pelayaran.
Tambahnya, Malaysia juga menggesa kerjasama keselamatan maritim yang lebih kukuh dalam ASEAN bagi menentang aktiviti memancing ikan secara haram dan ancaman lain yang membahayakan kestabilan serantau.
“Menerusi pengerusian ASEAN tahun ini, Malaysia akan terus mendesak akses kemanusiaan, menamatkan keganasan dan mencapai resolusi politik yang inklusif di Myanmar.
“Malaysia komited terhadap diplomasi yang mencerminkan peranannya yang lebih luas dalam ASEAN, mengutamakan kestabilan serantau sambil menegakkan prinsip demokrasi dan hak asasi manusia,” katanya lagi.
Ujarnya, jawatan pengerusi ASEAN Malaysia bermula dengan kukuh dan proaktif, dengan inisiatif yang jelas untuk mengukuhkan pertumbuhan ekonomi, keselamatan serantau, keberkesanan institusi, dan daya tahan iklim.
“Penilaian yang adil harus menumpukan pada kemajuan ketara yang akan berlaku sepanjang tahun, bukannya tergesa-gesa membuat penghakiman selepas hanya satu bulan,” katanya.