KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kekuatan penuh ASEAN masih belum dimanfaatkan sepenuhnya meskipun rantau ini kini muncul sebagai ekonomi kelima terbesar dunia.
Berucap pada Sidang Kemuncak Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor ASEAN (AFMGM) ke-12, Anwar mengingatkan bahawa ASEAN yang dihuni lebih 600 juta penduduk mempunyai potensi besar untuk menjadi lebih utuh sekiranya negara anggota bersatu sebagai satu blok ekonomi.
“Apalah gunanya kita berseteru dan saling bersaing sesama sendiri, sedangkan kita mampu bangkit bersama,” katanya.
Beliau turut menjadikan pembukaan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) sebagai contoh pelaksanaan zon ekonomi rentas sempadan yang boleh diperluaskan ke bandar-bandar lain, termasuk wilayah membangun dan luar bandar.
Menurutnya, landskap ekonomi global yang semakin tidak menentu, terutamanya akibat pengenaan tarif oleh Amerika Syarikat, seharusnya membuka mata negara-negara ASEAN terhadap keperluan untuk kekal bersatu.
“ASEAN perlu menggembeleng kudrat bersama dalam mengukuhkan asas ekonomi rantau ini,” tegas beliau.
Tambahnya, pendekatan kerjasama serantau bukan sahaja akan mengurangkan kebergantungan kepada kuasa luar, malah akan memperkukuh daya saing ASEAN dalam ekonomi global.
Sidang AFMGM kali ini turut membincangkan langkah memperkasa integrasi ekonomi serantau dan ketahanan kewangan dalam menghadapi cabaran global semasa.
Baca juga: