KUALA LUMPUR: ASEAN melakar sejarah baharu dalam landskap ekonomi serantau dengan penganjuran acara perdagangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) terbesar tahun ini menerusi SME Venture @ASEAN 2025.
Acara berprestij yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) itu menghimpunkan pemain industri, pelabur dan usahawan dari 18 negara termasuk kesemua negara anggota ASEAN sekali gus mencerminkan kekuatan jaringan keusahawanan serantau yang semakin berkembang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapannya menekankan peranan penting PMKS dalam ekonomi negara.
“PMKS telah menyumbang hampir 40 peratus kepada KDNK nasional dan menyediakan hampir separuh daripada peluang pekerjaan di negara ini,” katanya ketika majlis pelancaran pada Khamis.
Namun begitu, beliau turut mengakui bahawa sumbangan sektor tersebut terhadap eksport ASEAN masih rendah sekitar 18 peratus, satu jurang yang menurutnya boleh dirapatkan menerusi kerjasama serantau yang lebih agresif dan berfokus.
“Masih banyak potensi belum diterokai oleh usahawan ASEAN khususnya dalam menembusi pasaran global.
“Ini menuntut semangat baharu dan kesediaan untuk berkolaborasi merentas sempadan,” ujarnya.
Sebagai langkah ke hadapan, Ahmad Zahid mencadangkan penubuhan gerakan One ASEAN SME Movement iaitu sebuah platform penyatuan usahawan, pelabur dan inovator dalam membina ekosistem perdagangan baharu yang lebih inklusif dan dinamik.
“Dengan kekuatan ekosistem keusahawanan serantau serta semangat kolaborasi yang kukuh, saya yakin lebih banyak syarikat tempatan mampu menjadi peneraju pasaran serantau dan global,” katanya.








