ASEAN-GCC Kukuh Hubungan Ekonomi, Bina Kedaulatan Digital

KUALA LUMPUR: ASEAN-GCC Economic Forum menjadi platform utama dalam memperkukuh hubungan ekonomi antara kedua-dua rantau dan seterusnya membuka peluang ke arah kerjasama yang lebih maju pada masa hadapan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam ucapannya di forum itu, hari ini, menegaskan kepentingan pendekatan antarabangsa dalam merangka dasar baharu berkaitan kecerdasan buatan (AI) dan kedaulatan digital.

“Seharusnya, manfaat teknologi baharu ini bukan sahaja bersifat nasional atau subserantau tetapi bersifat global tanpa meminggirkan kerangka pemikiran manusia tradisional,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau turut menekankan peranan Malaysia dan ASEAN dalam memperkukuh pelaburan serantau yang meliputi sektor tenaga, infrastruktur, digital, keselamatan makanan, dan tenaga sebagai langkah ke hadapan dalam menghadapi cabaran ekonomi global.

Dengan fokus kepada inovasi dan kebersamaan, Anwar berkata, ASEAN-GCC dijangka terus memperkukuh hubungan ekonomi, mengukuhkan kestabilan serantau dan memanfaatkan teknologi untuk pembangunan yang lebih inklusif dan berdaya tahan.

Anda Mungkin Berminat