ASEAN gesa semua pihak berhemah tangani isu Laut China Selatan – Mohamad Hasan

Oleh: Aliyaa Azmi

KUALA LUMPUR: ASEAN menggesa semua pihak agar menguruskan situasi di Laut China Selatan secara berhemah dan berhati-hati bagi memastikan kestabilan serta keselamatan serantau terus terpelihara.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata sebarang ketegangan di kawasan itu perlu ditangani secara rasional bagi mengelak risiko konflik serta gangguan terhadap laluan perdagangan penting dunia.

“ASEAN menyeru agar isu di Laut China Selatan ditangani dengan bijaksana, elak sebarang provokasi yang boleh burukkan keadaan,” katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan Mesyuarat Pasca Persidangan Menteri-Menteri Luar ASEAN bersama China di sini, hari ini.

Mohamad berkata, ASEAN dan China kekal sebagai rakan dagang terbesar antara satu sama lain untuk tahun keempat berturut-turut, dengan jumlah dagangan mencecah RM3.62 trilion pada 2024.

Katanya, Perjanjian Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) 3.0 yang dijangka dimeterai hujung tahun ini bakal memperkukuh lagi kerjasama ekonomi dan daya tahan serantau.

“Perjanjian ini bukan sekadar perluasan perdagangan, ia simbol komitmen jangka panjang ke arah kestabilan ekonomi serantau,” katanya.

Malaysia kini bertindak sebagai penyelaras hubungan dialog ASEAN-China dan komited memperkukuh kerjasama strategik tersebut demi manfaat bersama semua negara anggota.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Malaysia memilih pendekatan damai dan diplomasi berbanding konfrontasi dalam menangani isu pertikaian wilayah di Laut China Selatan.

Dalam wawancara bersama saluran antarabangsa France 24, Anwar menjelaskan bahawa isu sempadan maritim dengan negara jiran diselesaikan secara baik, dan dasar tidak memihak merupakan pendirian konsisten Malaysia.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat