Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Dalam satu tindakan yang mengejutkan pasaran global pada Khamis, Amerika Syarikat (AS) mengumumkan pelaksanaan kenaikan tarif negara tertentu terhadap semua negara anggota ASEAN.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengumumkan beliau akan mengenakan tarif asas sebanyak 10 peratus ke atas semua import ke AS dan duti yang lebih tinggi ke atas puluhan negara lain.
Pengarah Komunikasi PKR, Lee Chean Chung berkata, tindakan terbabit menggugat rantaian bekalan global, menghalang pelaburan dan memperlahankan pertumbuhan ekonomi khususnya di serantau ASEAN.
Chen Chung menjelaskan, negara gergasi itu mengambil tindakan sedemikian dek kerana bimbang dengan ketidakseimbangan perdagangan, subsidi tidak adil dan kebimbangan keselamatan negara.
“Langkah baharu ini menandakan perubahan besar dalam dinamik perdagangan global.
“Bermula 9 April, tarif yang berjumlah antara 10 peratus hingga hampir 50 peratus akan dikenakan ke atas hampir semua produk yang dieksport dari negara ASEAN ke AS, dengan beberapa pengecualian.
“Walaupun keparahan langkah ini berbeza di setiap negara dan sektor, mesej yang ingin disampaikan jelas: dunia sedang memasuki era baru nasionalisme ekonomi dan deglobalisasi, dan Asia Tenggara berada di barisan hadapan,” katanya di laman Facebooknya pada Khamis.

Dalam pada itu katanya, impak ke atas sektor ekonomi turut dirasai dengan mendalam oleh negara di serantau ASEAN, ini kerana kebanyakan negara di Asia Tenggara amat bergantung kepada pertubuhan yang dipacu oleh eksport bersama AS yang memainkan peranan penting sebagai pasaran utama.
“Di peringkat serantau, aliran perdagangan yang terpecah berisiko melemahkan pengaruh kolektif ASEAN dalam ekonomi global.
“Seiring dengan kesan langkah-langkah AS yang menggegarkan rantaian bekalan yang saling berkaitan perdagangan intra-ASEAN mungkin menghadapi geseran, terutamanya jika negara anggota mula melaksanakan dasar yang mengutamakan perlindungan industri domestik.
“Kedudukan ASEAN sebagai blok ekonomi yang bersatu yang dijangka menjadi ekonomi keempat terbesar dunia menjelang 2030 berisiko tergugat jika negara-negara gagal menyelaraskan respons terhadap goncangan luar ini,” ujarnya.
Tambah beliau, bukan sahaja pemain industri yang terhimpit dengan kenaikan tarif terbabit malah golongan pengguna turut merasai kesannya.
“Tekanan inflasi ini akan memberi kesan yang lebih besar kepada isi rumah berpendapatan rendah, memperdalam ketidaksamaan di seluruh kawasan yang masih pulih daripada pandemik dan bergelut dengan kos sara hidup yang meningkat,” tambahnya.
Realiti yang sedang berlaku pada ketika ini katanya adalah satu keretakan struktur ekonomi yang memaparkan ialah kehancuran sistem antarabangsa pasca-perang dunia kedua yang ditandai dengan peningkatan proteksionisme, pemecahan geopolitik dan perubahan perdagangan.
Sehubungan itu katanya, seluruh negara ASEAN seharusnya bersatu teguh tanpa bergerak dengan sendirian agar dapat bangkit bersama-sama menghadapi cabaran global dengan lebih kuat.
“Dengan memperdalamkan integrasi ekonomi Intra-ASEAN dan mempercepatkan inisiatif seperti peningkatan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA), menyelaraskan piawaian dan mengurangkan halangan bukan tarif.
“Pelaburan dalam infrastruktur serantau, perdagangan digital, dan industri mampan boleh mewujudkan enjin pertumbuhan baharu yang kurang bergantung kepada pasaran luaran yang tidak stabil.
“Yang paling penting, ASEAN juga perlu menyuarakan satu suara yang bersatu dalam forum global seperti WTO dan G20, untuk memperjuangkan perdagangan yang adil dan terbuka,” katanya.
Baca juga: