KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa ASEAN kekal sebagai model kestabilan dan keterbukaan di tengah-tengah pergolakan global, dengan berpegang kepada prinsip perdagangan terbuka, kerjasama serantau dan pendirian berkecuali.
Sejak penubuhannya pada 1967, ASEAN membina reputasi sebagai rantau yang sinonim dengan keamanan, dialog, dan dinamik melalui budaya konsensus, komunikasi terbuka dan solidariti. Prinsip inilah yang membolehkan blok serantau mengurus ketegangan, mencegah konflik serta memacu kemakmuran di salah satu kawasan paling berbilang kaum di dunia.
Anwar berkata semangat solidariti ASEAN diuji baru-baru ini apabila Malaysia selaku pengerusi memediasi konflik sempadan antara Thailand dan Kemboja sehingga berjaya mencapai gencatan senjata segera.
“Perkara ini membuktikan nilai dialog, saling menghormati dan keyakinan rakyat ASEAN terhadap peranan blok ini sebagai penjaga keamanan,” tulisnya di portal Project Syndicate pada Khamis.
Ujarnya, dalam suasana dunia yang semakin terhimpit dengan persaingan kuasa besar, konflik ekonomi, dan kemerosotan keyakinan terhadap multilateralisme, kedudukan pusat (centrality) ASEAN bukan lagi sekadar aspirasi diplomatik, tetapi keperluan mendesak.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Kuala Lumpur pada Mei lalu turut menjadi sejarah apabila semua negara anggota bersetuju menerima Timor-Leste sebagai anggota ke-11, melambangkan komitmen berterusan terhadap keterangkuman dan perpaduan.
Dengan populasi seramai 660 juta orang, ASEAN dilihat sebagai pasaran paling dinamik dunia. Namun, untuk merealisasikan potensinya, rantau ini perlu merapatkan jurang pembangunan serta memperkukuh keterhubungan yang lebih adil di kalangan negara anggota. Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang bakal berlangsung Oktober ini di Kuala Lumpur akan menumpukan usaha menghapuskan halangan tarif dan bukan tarif, serta memperbaharui komitmen kepada perdagangan inklusif dan mampan.
Anwar turut menekankan kepentingan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) sebagai teras kepada struktur ekonomi serantau, di samping memperluaskan kerjasama global menerusi hubungan dengan Majlis Kerjasama Teluk (GCC), China, India, Korea Selatan dan lain-lain.
Selain itu, ASEAN juga sedang mempercepat pelaksanaan rangka kerja ekonomi digital, dengan memberi tumpuan kepada teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) yang dijangka menjadi pemacu pertumbuhan seterusnya.
“Semua inisiatif ini, meliputi perdagangan, teknologi dan keterhubungan – mempunyai tujuan utama iaitu mempertahankan autonomi ASEAN di era penuh ketidaktentuan,” ujar Anwar.
Beliau menambah, pengukuhan agenda kelestarian, termasuk pembangunan Grid Tenaga ASEAN, adalah langkah penting untuk menjamin keselamatan tenaga jangka panjang, mewujudkan pekerjaan hijau serta memastikan masa depan mampan.
Dalam dunia yang semakin tidak menentu, tegas Anwar, nasib ASEAN bergantung kepada perpaduan serantau.
“Kita mesti berani membentuk masa depan dengan berpandukan nilai asas penubuhan ASEAN, agar blok ini terus menjadi mercu tanda keamanan, kemakmuran dan kemajuan untuk generasi akan datang,” katanya.
Baca juga:








