ASEAN Komited Cari Penyelesaian Krisis Kemanusiaan Myanmar

PETALING JAYA: Pemimpin ASEAN komited untuk membantu Myanmar mencari penyelesaian aman dan berkekalan terhadap krisis kemanusiaan yang melanda negara tersebut.

Dalam satu kenyataan, pemimpin ASEAN menzahirkan kebimbangan terhadap krisis itu yang semakin memburuk, khususnya selepas gempa bumi berukuran 7.7 magnitud melanda kawasan tengah negara itu pada 28 Mac lalu.

“Kami menegaskan bahawa Konsensus Lima Perkara masih menjadi rujukan utama dalam menyelesaikan kemelut politik Myanmar dan ia perlu dilaksanakan sepenuhnya bagi memastikan penyelesaian yang inklusif dan diketuai sendiri oleh rakyat Myanmar.

“ASEAN turut menggesa semua pihak yang terlibat agar segera menghentikan sebarang bentuk keganasan terhadap orang awam dan kemudahan awam, serta mengambil tindakan konkrit bagi menamatkan kekejaman, mengelakkan sebarang bentuk peningkatan konflik, dan memastikan keselamatan serta perlindungan kepada semua penduduk awam,” menurut kenyataan itu pada Selasa.

Dalam pada itu, pemimpin ASEAN turut menghargai pelaksanaan tiga siri gencatan senjata sementara oleh pihak berkuasa Myanmar serta gencatan senjata sebelah pihak oleh beberapa pihak berkepentingan lain.

Justeru itu, ASEAN menyeru agar langkah ini dilanjutkan dan diperluaskan ke seluruh negara sebagai usaha awal untuk menamatkan keganasan, mewujudkan persekitaran yang selamat bagi penghantaran bantuan kemanusiaan dan membuka jalan kepada dialog nasional yang inklusif selaras dengan Konsensus Lima Perkara.

“Dalam hal ini, ASEAN menuntut semua pihak terlibat agar memastikan penghantaran bantuan kemanusiaan dijalankan secara selamat, cekap, tepat pada masanya dan telus, tanpa sebarang diskriminasi.

“Ia perlu berpandukan Penilaian Keperluan Segera ASEAN-ERAT dan Penilaian Bersama oleh Pusat AHA dengan sokongan berterusan daripada pihak berkepentingan dalam negara serta usaha rentas sempadan jika perlu.,” katanya lagi.

Pemimpin ASEAN juga menggesa semua pihak di Myanmar membina kepercayaan ke arah dialog nasional yang inklusif demi mencapai penyelesaian aman dan berkekalan yang diketuai rakyat sendiri.

“Kami juga menyatakan sokongan padu terhadap usaha Pengerusi ASEAN dan Pelantikan Utusan Khas dalam melaksanakan Konsensus Lima Perkara secara menyeluruh, serta menghargai sokongan PBB dalam proses itu.

“ASEAN turut komited memperkukuh kerjasama serantau dan antarabangsa untuk menangani kesan krisis, termasuk jenayah rentas sempadan seperti pemerdagangan manusia dan penipuan dalam talian,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat