KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru agar kerjasama antara ASEAN dan Republik Korea diperkukuh dalam menghadapi cabaran global yang semakin kompleks termasuk persaingan strategik, gangguan rantaian bekalan dan perubahan landskap ekonomi dunia.
Dalam ucapan pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN–Republik Korea yang berlangsung di Kuala Lumpur, Anwar menekankan bahawa hubungan dua hala yang telah terjalin selama lebih tiga dekad kini memasuki fasa baharu melalui Perkongsian Strategik Komprehensif.
“Selama lebih tiga dekad, hubungan dialog ASEAN–Republik Korea menjadi contoh kerjasama berasaskan kepercayaan, saling menghormati dan manfaat bersama,” katanya.
Sidang kemuncak itu turut menyaksikan kehadiran Presiden Republik Korea, Lee Jae Myung, dalam lawatan sulungnya ke Malaysia sebagai ketua negara.
Anwar turut berkata, nilai perdagangan antara ASEAN dan Korea Selatan telah melepasi RM843.9 bilion pada tahun 2024, mencerminkan kekuatan dan daya tahan hubungan ekonomi kedua-dua pihak.
Beliau menekankan potensi besar ASEAN yang terletak pada tenaga muda dan pasaran luas lebih 600 juta penduduk.
“Gabungan potensi pertumbuhan ASEAN dengan kekuatan inovasi dan teknologi Korea Selatan boleh membentuk ekosistem serantau yang mampan dan terbuka, sekali gus memastikan rantaian bekalan stabil serta pertumbuhan inklusif,” katanya.
Beliau turut menggariskan kepentingan Pelan Tindakan 2026–2030 yang baru diterima pakai sebagai panduan utama dalam memacu kemajuan bersama.
“Nilai sebenarnya bergantung kepada bagaimana kita melaksanakannya bagi memacu kemajuan bersama,” ujarnya.
Perdana Menteri turut menekankan bahawa pembangunan modal insan berdaya masa depan adalah kunci untuk menjadikan rakyat ASEAN sebagai peneraju perubahan dan pencipta kemakmuran.
“Rakyat ASEAN mampu menjadi peneraju perubahan, pencipta dan usahawan yang membina kemakmuran bersama,” katanya.








