KUALA LUMPUR: ASEAN menyuarakan kecaman keras terhadap serangan udara yang mengorbankan puluhan nyawa awam di Hospital Mrauk-U, Negeri Rakhine Barat, Myanmar.
Serangan yang berlaku pada 10 Disember lalu telah meragut sekurang-kurangnya 31 nyawa dan mencederakan lebih 76 orang, kebanyakannya pesakit dan petugas kesihatan.
Tragedi itu mencetuskan gelombang kemarahan dan kebimbangan mendalam dalam kalangan negara anggota ASEAN.
“ASEAN melahirkan kebimbangan yang mendalam dan mengutuk sekeras-kerasnya serangan udara ke atas Hospital Mrauk-U di Negeri Rakhine Barat, Myanmar,” kata kenyataan Pengerusi ASEAN.
Kenyataan itu turut menyentuh pelanggaran serius terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa termasuk Konvensyen Geneva 1949, dengan menyatakan bahawa ‘serangan yang menyasarkan orang awam dan kemudahan perubatan adalah tidak boleh diterima dan bertentangan dengan prinsip yang termaktub dalam Piagam ASEAN,” menurut kenyataan itu.
ASEAN turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan mendoakan kesembuhan buat yang cedera.
“Kami merakamkan ucapan takziah yang paling mendalam kepada keluarga mangsa dan komuniti yang terjejas serta mendoakan agar mereka yang cedera segera sembuh,” katanya.
ASEAN turut menggesa semua pihak di Myanmar agar segera menghentikan keganasan secara melulu dan melindungi orang awam.
“Kami menggesa semua pihak agar mengambil tindakan konkrit untuk segera menghentikan keganasan secara melulu dan memastikan perlindungan serta keselamatan semua orang awam dan kemudahan awam,” katanya lagi.
ASEAN berkata, Konsensus Lima Perkara kekal sebagai rujukan utama dalam menyelesaikan krisis politik Myanmar.
“Kami juga menegaskan bahawa Konsensus Lima Perkara kekal sebagai rujukan utama demi kebaikan rakyat Myanmar, sekali gus menyumbang kepada keamanan, keselamatan dan kestabilan serantau,” kata kenyataan itu lagi.








