Oleh: Tyah Helmi
KUALA LUMPUR: ASEAN di bawah kepengerusian Malaysia pada tahun ini berjaya mencapai kemajuan yang positif misalnya usaha dalam menyelesaikan konflik di Myanmar.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan ketika berucap di Sesi Plenari Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 hari ini berkata, usaha penyelesaian konflik itu berjaya dilaksana menerusi penubuhan Kumpulan Penasihat Tidak Formal yang berada di bawah Kepengerusian Malaysia.
“Kumpulan ini diketuai oleh bekas Perdana Menteri Thailand, Dr Thaksin Shinawatra, dan telah mengadakan mesyuarat di Brunei Darussalam yang turut dihadiri Sultan Brunei.
“Sejak mesyuarat ketiga di Bangkok, kemajuan telah dicapai dalam usaha menyelesaikan krisis di Myanmar. Mesyuarat seterusnya akan dihoskan oleh bekas Perdana Menteri Kemboja, Samdech Hun Sen,” katanya.

Kata Anwar, pendekatan secara senyap dan diplomatik juga telah memainkan peranan penting.
“Walaupun langkah yang diambil mungkin kecil dan jalinan yang dibina masih rapuh, namun “dalam hal keamanan, jambatan yang rapuh jauh lebih baik daripada jurang yang semakin melebar,” ujarnya.
Dalam nada tegas beliau berkata, elemen keamanan, kestabilan dan kemakmuran ASEAN telah sekian lama bergantung kepasa sistem antarabangsa yang terbuka, inklusif dan berteraskan peraturan.
Beliau turut menzahirkan keyakinan terhadap kekuatan dan daya tahan ASEAN dalam mengharungi segala cabaran dan ketidaktentuan masa kini.
“Semangat kesatuan dan keazaman untuk menentukan masa depan sendiri akan menjadi pemacu untuk terus maju ke hadapan.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan mesyuarat berkaitan yang akan bermula hari ini, menghimpunkan pemimpin Asia Tenggara untuk perbincangan peringkat tinggi yang tertumpu kepada kerjasama serantau, integrasi ekonomi dan kestabilan geopolitik.
Dianjurkan di bawah kepengerusian Malaysia dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, sidang kemuncak tahun ini akan menyaksikan penyertaan ketua-ketua kerajaan dari semua negara anggota ASEAN kecuali Myanmar dan Timor Leste sebagai negara pemerhati.
Ia akan bermula dengan Sidang Kemuncak ASEAN (Plenari) ke-46 dipengerusikan Anwar yang akan membincangkan isu-isu serantau utama seperti perdagangan dan pelaburan, keselamatan maritim, perubahan iklim dan ekonomi digital.
Baca juga: