ASEAN sambut baik usaha wujud henti keganasan di Gaza

Oleh: Tyah Helmi

KUALA LUMPUR: ASEAN menyambut baik usaha dalam mewujudkan penghentian keganasan di Gaza sebagai fasa pertama pelan komprehensif dalam menamatkan genosid Gaza yang dikemukakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, perkembangan itu menjadi satu langkah penting pada masa hadapan.

Mohamad memaklumkan, ASEAN berharap bahawa ia akhirnya akan membawa kepada pembebasan hak rakyat Palestin serta penubuhan sebuah negara yang berdaulat dan merdeka.

“Selama dua tahun yang lalu, dunia telah menjadi saksi kepada penderitaan yang tidak terungkap yang dialami oleh rakyat Palestin di Gaza.

“Tragedi ini ditandai dengan kehilangan nyawa yang amat besar, perpindahan besar-besaran, serta penghakisan harapan dan maruah secara sistematik.

“ASEAN menyambut baik usaha untuk mewujudkan penghentian keganasan di Gaza, sebagai fasa pertama Pelan Komprehensif untuk Menamatkan Konflik Gaza yang dikemukakan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan pada Mesyuarat Menteri Luar ASEAN sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47, di Kuala Lumpur pada Sabtu.

Pada September lalu, Trump mengumumkan pelan 20 perkara bagi menamatkan konflik antara Israel dan Hamas di Semenanjung Gaza.

Pelan berkenaan merangkumi pembebasan tebusan negara haram Israel sebagai pertukaran dengan tahanan Palestin, pelucutan senjata sepenuhnya oleh kumpulan pejuang Palestin Hamas, serta pembentukan jawatankuasa teknokrat Palestin untuk mentadbir wilayah itu tanpa pengaruh politik.

Fasa pertama perjanjian tersebut ditandatangani pada 8 Oktober lalu, melibatkan pembebasan semua tebusan Israel dan sejumlah tahanan Palestin.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat