ASEAN Sebagai Pemimpin, Bukan Pengikut – PM

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil buat julung kalinya di Gedung Sekretariat ASEAN, Jakarta, dalam kapasiti Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

Dalam ucapan berwibawa yang sarat dengan mesej perpaduan dan kepimpinan, beliau menegaskan komitmen Malaysia terhadap cita dan semangat ASEAN yang ‘kental dan luhur’.

Anwar menyatakan keyakinan bahawa ASEAN akan terus bersuara lantang dan memimpin dengan ketegasan dan bukan sekadar mengikut susun atur kuasa global.

“Malaysia akan pastikan ASEAN akan lebih tegap dan melangkah sederap demi kestabilan, kemakmuran dan keamanan sejagat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya.

Sebagai pengerusi, Anwar berkata, Malaysia telah memainkan peranan penting dalam mendamaikan konflik antara Kemboja dan Thailand yang hampir mencetuskan krisis serantau.

Menurutnya, dengan sokongan aktif dari China dan Amerika Syarikat, Malaysia berjaya memeterai persetujuan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat.

“Ini bukti betapa diplomasi mesti memayungi usaha kita menjelmakan keamanan dan kepimpinan yang tegas,” tegas Anwar.

Dalam konteks dunia yang semakin terhimpit oleh persaingan kuasa besar dan keruntuhan multilateralisme, Anwar menyeru agar ASEAN tidak berpecah atau ketinggalan.

Sebaliknya, beliau berkata, rantau ini mesti bersatu dan memperkukuh peranannya sebagai suara yang dihormati di pentas antarabangsa.

“Kita mesti bersatu, perkukuh peranan ASEAN dan memastikan suara rantau ini terus dihormati,” katanya.

Pada masa yang sama. Perdana Menteri berkata Malaysia turut menekankan komitmen terhadap pelaksanaan penuh Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), mempercepat ASEAN Power Grid dan memuktamadkan ASEAN Digital Economy Framework Agreement sebagai satu langkah penting ke arah ekonomi serantau yang terbuka, adil dan lestari.

“Malaysia komited memacu pelaksanaan RCEP, mempercepat ASEAN Power Grid dan memuktamadkan ASEAN Digital Economy Framework Agreement bagi menjamin masa depan ekonomi yang terbuka, adil dan lestari untuk 660 juta rakyat di rantau ini,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat