Oleh: Aliyaa Azmi
KUALA LUMPUR: ASEAN dan rakan dialog sebulat suara menegaskan keutamaan ketika ini bagi Myanmar adalah menghentikan keganasan serta memulihkan keamanan negara itu, bukan melaksanakan pilihan raya.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata negara anggota dan semua pihak berkaitan sepakat bahawa pelaksanaan Konsensus Lima Perkara perlu dipatuhi Myanmar terlebih dahulu sebelum sebarang perancangan politik, termasuk pilihan raya, dibincangkan.
“Konsensus Lima Perkara itu tidak menyebut langsung mengenai pilihan raya. Apa yang penting sekarang ialah gencatan senjata, wujudkan dialog antara semua pihak bertelagah, pastikan bantuan kemanusiaan sampai tanpa halangan dan lantik utusan khas,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar sempena Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-15, sempena Mesyuarat Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan di sini, hari ini.
Mengulas cadangan kerajaan tentera Myanmar untuk mengadakan pilihan raya, Mohamad berkata ASEAN sudah menasihati negara itu bahawa pilihan raya bukan keutamaan buat masa ini.

“Kalau pilihan raya dibuat tanpa penyertaan semua pihak, itu bukan penyelesaian. Malah akan tambah parah dan memburukkan lagi keadaan.
“Keutamaan kita sekarang ialah hentikan keganasan, hentikan kekejaman dan biar semua pihak duduk berbincang demi kebaikan rakyat Myanmar,” katanya.
Menurut beliau, Myanmar memaklumkan sudah ada gencatan senjata sementara, namun ASEAN menekankan gencatan itu perlu diperluaskan secara menyeluruh dan bersifat kekal.
“Bukan bertompok-tompok. Kita mahu seluruh Myanmar kembali stabil, rakyat mereka boleh hidup aman dan bantuan kemanusiaan boleh sampai ke tempat sepatutnya,” katanya.
Mohamad turut menegaskan bahawa ASEAN tidak mahu platform EAS sekadar mengeluarkan kenyataan tanpa sebarang tindakan konkrit.
“Kita sudah 20 tahun tubuh EAS, maka kita mahu ia diperkasakan. Sejumlah deklarasi akan dibentang dan diluluskan Oktober ini untuk pastikan semua negara bergerak dalam kerangka kerjasama yang lebih bermakna,” katanya.
Dalam pada itu, beliau enggan mengulas mengenai kebimbangan ASEAN berhubung tarif baharu Amerika Syarikat (AS) terhadap beberapa negara.
“Itu soal dua hala, kita tidak bincang perkara itu dalam mesyuarat ini,” katanya ringkas.
Baca juga: