ASEAN SUMMIT 2025: Enam Lebuh Raya, 24 Jalan Utama Lembah Klang Ditutup Secara Berperingkat

PETALING JAYA: Sebanyak enam lebuh raya dan 24 jalan utama sekitar Lembah Klang akan mengalami penutupan berperingkat dari 23 hingga 28 Mei bersempena dengan Kemuncak Mesyuarat Kepengerusian ASEAN Ke-46 (ASEAN Summit 2025).

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, penutupan laluan melibatkan akses utama masuk dan keluar Kuala Lumpur termasuk ke Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Istana Negara, KLIA dan Subang.

“Laluan ke hotel penginapan delegasi turut terjejas.

“Setiap penutupan atau lencongan jalan dijangka berlangsung antara 30 hingga 45 minit bermula 8 pagi hingga 8 malam, mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, penutupan dilakukan bagi memberi laluan kepada konvoi dan motoked delegasi serta tetamu persidangan dari negara-negara ASEAN.

Antara laluan utama yang akan ditutup di Kuala Lumpur adalah Jalan Sultan Ismail, Jalan Ampang, Jalan Imbi, Jalan Tun Abdul Razak, Jalan Parlimen, Jalan Damansara dan Jalan Kuching.

Manakala enam lebuh raya yang terlibat adalah Lebuhraya ELITE (KLIA–Putrajaya), NKVE (Subang–Jalan Duta), Lebuhraya GUTHRIE, MEX, KL–Seremban, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) (Sungai Buloh–Jalan Duta).

Persimpangan strategik sekitar KLCC yang akan mengalami penutupan sementara termasuk Jalan P. Ramlee, Jalan Perak, Jalan Pinang dan Persiaran KLCC.

Selain itu, katanya, laluan utama ke KLIA dan Pangkalan Udara TUDM Subang serta Lingkaran Putrajaya dan Lebuh KLIA turut terjejas.

Sebagai langkah persediaan, JSPT akan melaksanakan raptai keselamatan (dry-run) pada 21 dan 22 Mei yang merangkumi motoked, kawalan laluan dan penyelarasan petugas polis.

“Orang ramai dinasihatkan mengelak daripada menggunakan laluan yang terlibat, merancang perjalanan lebih awal serta digalakkan menggunakan pengangkutan awam,” kata kenyataan itu lagi.

Beliau turut menggalakkan masyarakat untuk merujuk maklumat laluan di media massa dan memberikan kerjasama penuh demi kelancaran serta keselamatan sepanjang persidangan berlangsung.

Anda Mungkin Berminat