ASEAN Teguh Junjung Kerjasama Dengan PBB Demi Keamanan, Kelestarian Sejagat – Anwar

KUALA LUMPUR: Komitmen ASEAN terhadap hubungan erat dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mesti kukuh, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menyifatkan perkongsian itu sebagai tonggak penting dalam menjayakan aspirasi bersama untuk keamanan, kemakmuran dan kelestarian sejagat.

Ketika mewakili ASEAN dalam Sidang Kemuncak ASEAN–PBB ke-15, Anwar berkata, hubungan dua hala itu bukan sekadar diplomatik tetapi berakar pada nilai-nilai kemanusiaan yang menyatukan negara-negara anggota dalam menghadapi cabaran global.

“Semasa Sidang Kemuncak ASEAN-PBB ke-15, saya mewakili ASEAN menegaskan semula komitmen kukuh terhadap hubungan erat yang sekian lama terjalin dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sebuah perkongsian yang berasaskan aspirasi bersama untuk keamanan, kemakmuran dan kelestarian sejagat.

“Seiring pelaksanaan visi ‘ASEAN 2045: Our Shared Future’, ASEAN kekal teguh menyelaraskan keutamaan serantau dengan Matlamat Pembangunan Lestari 2030, berpaksikan keterangkuman, kelestarian dan semangat multilateralisme,” katanya.

Anwar turut memuji keberanian dan keteguhan prinsip Setiausaha Agung PBB, António Guterres khususnya dalam memperjuangkan keadilan dan menentang kekejaman yang sedang berlaku di Gaza.

“Ia membuktikan suara beliau mencerminkan nilai kemanusiaan sejati yang wajar kita junjung bersama.

“ASEAN dan PBB akan terus memperkukuh kerjasama demi membina sebuah rantau yang aman, berdaya tahan dan inklusif tanpa meninggalkan sesiapa pun di belakang,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat