KUALA LUMPUR: Negara-negara anggota ASEAN bersepakat bahawa sebarang keputusan berkaitan tarif mesti dibuat secara konsensus bagi mengelakkan impak negatif terhadap ahli lain dalam blok serantau itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan itu adalah penting untuk melindungi kepentingan lebih 660 juta penduduk di Asia Tenggara khususnya dalam menghadapi ketegangan perdagangan global yang semakin meningkat.
“Dalam isu tarif, terutama melibatkan Amerika Syarikat, kita boleh teruskan rundingan dua hala tetapi tidak boleh buat keputusan yang memudaratkan anggota ASEAN lain.
“Ini konsensus yang dicapai bersama,” katanya dalam sidang media penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, semalam.
Presiden AS, Donald Trump baru-baru ini mengumumkan tarif baharu yang memberi kesan kepada beberapa negara Asia Tenggara.
Malaysia dikenakan tarif sebanyak 24 peratus manakala Kemboja, Laos dan Vietnam turut terjejas.
Singapura menerima kadar paling rendah iaitu 10 peratus.
Bagaimanapun, menteri-menteri ekonomi ASEAN memilih untuk tidak mengambil tindakan balas, sebaliknya membuka ruang dialog yang jujur dan konstruktif bersama Washington.
Menjawab dakwaan bahawa ASEAN semakin cenderung kepada China, Anwar menegaskan bahawa dasar luar blok itu kekal seimbang dan tidak memihak kepada mana-mana kuasa besar.
“Jika kita perlu bekerjasama dengan China, kita akan buat. Jika dengan Amerika Syarikat pun, ya, kita akan lakukan juga.
“Kita harus pastikan kebajikan rakyat dan kestabilan ekonomi serantau terpelihara,” katanya.
Menurut beliau, ASEAN akan terus memperkukuh hubungan dua hala dengan semua pihak termasuk cadangan untuk menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN-AS.
“Saya sudah tulis kepada Presiden Trump. Jika beliau balas dan bersetuju, kita boleh adakan sidang itu secepat Jun atau dalam masa terdekat,” ujarnya.