Aset RM758 Juta Milik Isteri Tun Daim Dibeku, Termasuk Bangunan Mewah di London

PETALING JAYA: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan untuk membekukan aset milik Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, isteri kepada bekas Menteri Kewangan, allahyarham Tun Daim Zainuddin serta ahli keluarganya.

Pembekuan itu melibatkan harta bernilai kira-kira RM758.2 juta termasuk beberapa bangunan mewah di London.

Hakim, Datuk Azhar Abdul Hamid mengeluarkan perintah itu selepas menerima permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu prosiding ex-parte.

Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat memohon pembekuan aset berdasarkan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Pembekuan itu melibatkan tujuh aset utama di London, termasuk dua bangunan komersial, lima hartanah kediaman mewah dan satu akaun bank yang dipercayai didaftarkan atas nama Yayasan Ilham.

Antara aset yang dibekukan adalah Bangunan di St Mary Axe, London yang dibeli pada Julai 2013 dengan harga RM136.2 juta.

Bangunan di One Crown Court, Cheapside, London yang dibeli pada Oktober 2014 dengan harga RM181 juta.

Turut dibekukan, dua unit kediaman di Gloucester Place yang dibeli pada 8 Januari 2021 dengan harga £8.1 juta (RM46.5 juta).

Perintah itu akan dikemukakan kepada pihak berkuasa United Kingdom bagi melaksanakan proses pembekuan.

Menurut Mahadi Abdul Jumaat, sekiranya siasatan SPRM membuktikan kesemua hartanah dan akaun tersebut diperoleh melalui sumber yang melanggar undang-undang, pihaknya akan memohon agar aset berkenaan dilucut hak kepada kerajaan Malaysia.

Dalam afidavitnya, Mahadi berkata, hasil siasatan menunjukkan aset-alih dan tak-alih terbabit berkait rapat dengan Seksyen 4(1) Akta AMLATFPUAA 2001.

Sebelum ini, Ketua Pengarah SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya menerima maklumat terbaru dari agensi luar berkaitan harta dan pemilikan aset bernilai tinggi milik allahyarham Daim serta keluarganya.

Berikutan maklumat tersebut, SPRM telah membuka lapan kertas siasatan baharu bagi menyiasat perkara itu secara mendalam.

Anda Mungkin Berminat