PETALING JAYA: Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (DVSS) telah mengambil langkah kawalan terhadap ternakan babi di Mongkos, Tebedu, Sarawak untuk mencegah penyebaran penyakit African Swine Fever (ASF).
ASF dikesan pada ternakan babi di kawasan tersebut pada 29 November lalu.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom mengesahkan daerah-daerah lain di Sarawak masih bebas daripada wabak ini dan bekalan daging babi mencukupi untuk sambutan Krismas.
Beliau menegaskan bahawa, ASF hanya menjangkiti babi dan tidak menular kepada manusia atau ternakan lain.
“Virus (ASF) tersebut hanya menjangkiti ternakan babi dan tidak melibatkan manusia,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Walau bagaimanapun, beliau mengingatkan semua penternak untuk meningkatkan biosekuriti ladang, mengawal pergerakan ternakan dan mematuhi peraturan pemindahan babi hidup.
Mengulas lanjut, beliau berkata, ASF tidak mempunyai vaksin atau ubat dan boleh menyebabkan kerugian besar kepada penternak.
Untuk langkah pencegahan, katanya, penternak dinasihatkan untuk memasak sisa makanan selama 30 minit sebelum diberikan kepada ternakan babi.
“Tanda-tanda klinikal ASF termasuk kematian tinggi pada babi, demam panas dan hilang selera makan.
“Jika tanda-tanda ini dikesan, penternak diminta segera menghubungi Pejabat Perkhidmatan Veterinar terdekat,” katanya.
Tambah Stephen yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena, video tular mengenai ASF sebenarnya berlaku di luar negara dan bukan di Sarawak.